JOHOR BAHRU 24 Julai - Cendol tidak asing lagi bagi masyarakat negara ini namun bagi penduduk bandar raya ini, 'cendol Taman Suria' di sini cukup masyhur untuk menghilangkan rasa haus penggemarnya.
Kelazatan cendol itu diakui bukan sahaja di kalangan pekerja pasar raya Giant yang terletak bersebelahan gerai cendol itu malahan juga di kalangan masyarakat berbilang kaum sejak enam tahun lalu.
Bahkah cendol yang hanya dijual di tepi jalan di taman tersebut oleh peniaga suami isteri, Wan Abdul Rahman Wan Jusoh, 40, dan Zaiton Mohamad, 38, dikunjungi pelanggan yang datang jauh dari kawasan ini untuk menikmati minuman berisi cendol, santan, gula merah, kacang merah dan pulut itu.
Menurut Zaiton yang menetap di Kempas, perniagaan tersebut menjadi pilihan kerana dia sememangnya meminati minuman itu selain lebih arif cara membuat cendol berbanding minuman atau makanan lain.
"Setiap hari kira-kira 15 kilogram (kg) cendol akan dijual dan kebiasaannya saya bersyukur kerana habis dijual," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Selain cendol, menurutnya, gerainya turut menjual air soya, air kelapa dan kuih muih yang dihantar oleh orang perseorangan bagi menambah juadah untuk kepuasan pelanggan.
Menurut ibu kepada lima orang anak itu, setiap hari dia akan mula menyediakan cendol di rumah pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi dan kemudian berniaga kira-kira pada pukul 11.30 pagi hingga 6.30 petang.
"Saya buat cendol seorang tetapi tidak susah sangat kerana suami saya ada reka sebuah mesin untuk kacau cendol, jadi tidak perlu banyak masa untuk proses itu," katanya.
Sementara itu, menurutnya, proses untuk membentuk cendol pula masih lagi menggunakan cara dan alat-alat biasa.
"Malah untuk membuat santan pun saya mesin kelapa sendiri dan cara itu lebih menjimatkan daripada membeli santan mentah dari luar," katanya.
Jelas Zaiton, terdapat juga peniaga lain yang memintanya menyediakan cendol untuk mereka tetapi permintaan itu terpaksa ditolak kerana dia tiada mempunyai masa yang cukup dan perlu memberi tumpuan kepada perniagaan di gerainya.
Katanya, pelanggannya memberitahu bahawa selain sedap, harga cendolnya juga murah walaupun bahan-bahan untuk membuat cendol mengalami kenaikan harga.
Cendol biasa atau dicampur pulut atau kacang merah tetap dijual dengan harga RM1 semangkuk kecil manakala cendol yang dibungkus pula dijual dengan harga RM1.50 sebungkus.
"Berniaga minuman ini hanya satu sahaja masalahnya iaitu apabila hari hujan, orang tidak akan minum minuman berais.
"Tetapi itu adalah perkara biasa dan kami bersyukur dengan apa sahaja yang diperoleh dan sebenarnya perniagaan begini tidak merugikan malah kita boleh dapat ramai kenalan," katanya yang amat mesra dengan semua pelanggan itu.
Pada bulan Ramadan ini, Zaiton telah memohon tapak bazar di hadapan Giant, Taman Suria bagi terus mengembangkan perniagaan cendolnya itu.
Mengenai perkembangan gerainya, Zaiton berkata, pada awal perniagaannya, dia hanya menggunakan sebuah van kecil sahaja tetapi dua tahun lalu kenderaan itu ditukar kepada van yang lebih besar selaras dengan pertambahan pendapatannya.
"Untuk niaga di tapak ini, kami memohon lesen menjaja gerai tepi jalan, lesen ini perlu diperbaharui setahun sekali dengan kadar RM300," katanya yang berniaga dengan dibantu oleh anak-anaknya.