Monday, June 29, 2009

COCONUT SHAKE MINUMAN YANG SEMAKIN POPULAR


Minuman air kelapa muda sudah terlalu lumrah dan cukup popular dijual di mana-mana kedai atau restoran.

Tetapi air kelapa segar yang dicampur dengan aiskrim pastinya sesuatu yang pelik didengar namun di Klebang ia menjadi perhatian kerana keenakannya membuatkan mereka yang menikmati minuman ini pasti akan datang lagi.

Air kelapa segar yang dicampur dengan aiskrim pelbagai rasa dan dikenali coconut shake cukup di kenali di Klebang dan jangan terkejut jika ternampak orang ramai memenuhi setiap ruang gerai kecil di tepi jalan menjual minuman itu.

Bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk setempat malah orang dari luar Melaka dan pelancong asing juga cukup mengenali gerai ini yang sentiasa dipenuhi dengan pelanggan setiap masa.

Gerai yang diberi nama Coconut Shake Klebang ini, juga menyediakan beberapa minuman segar lain seperti air kelapa dan tebu yang hanya dikopek dan dimesin jika ada permintaan sahaja.

Bagi yang berkunjung ke sini khususnya mereka yang datang dari luar Melaka, gerai ini menjadi tempat persinggahan awal sebelum mereka berkunjung ke beberapa lagi tempat menarik di bandar ini.

Coconut shake yang disediakan di gerai ini, tidak sama seperti di gerai lain kerana kelazatannya apatah lagi dengan campuran aiskrim, air kelapa, gula, isi kelapa dan air batu begitu membangkitkan selera pengunjung yang menikmatinya.

Sudah menjadi kebiasaan sekiranya anda terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk membawa balik coconut shake begitu juga mereka yang datang mencari tempat duduk sehingga adakalanya terpaksa berebut-rebut.

Anda perlu banyak bersabar menanti giliran, pastinya anda akan rasa berbaloi apabila dapat menikmati coconut shake yang begitu menyelerakan ini.

Pemilik gerai, Shafie Ahmad, 47, berkata, dia mula menjual air kepala dan tebu secara kecil-kecilan sejak hampir lima tahun lalu.

Beliau yang merupakan pesara tentera mendapat keuntungan hanya RM5 sehari ketika itu dan terpaksa melalui beberapa detik sukar sebelum gerainya mula dikenali seperti hari ini.

Atas dorongan ahli keluarga terutama adik iparnya, maka dia mencuba untuk membuat intipati coconut shake yang mampu untuk membangkitkan rasa yang unik dan lazat.

Setelah beberapa kali mencuba untuk mencari rasa yang sesuai, akhirnya wujudlah minuman coconut shake yang dapat anda nikmati seperti sekarang dan ramuannya tidak pernah diubahsuai untuk menjaga kualiti dan rasanya.

''Ramai orang cakap minuman coconut shake saya sedap, tapi bagi saya ia biasa sahaja kerana semua ramuannya saya buat menggunakan isi dan air kelapa yang segar dan aiskrim berjenama.

''Terdapat juga pengunjung yang bertanya ilmu apa yang saya gunakan sehingga dapat menggamit begitu ramai pelanggan dan rahsianya saya menjaga ahli keluarga saya untuk rajin bersedekah dan mesra pelanggan,'' katanya.

Setiap segelas minuman coconut shake yang biasa boleh didapati dengan harga semurah RM1.50 dan untuk dibawa balik pula harganya RM1.80.

Untuk menambah lagi keenakan minuman tersebut mereka boleh meminta untuk menambah aiskrim dengan harga RM2.00 dan RM2.20.

Menurut Shafie, setiap hari ada lori yang akan menghantar 18 kotak aiskrim berjenama ke rumahnya dan hampir 200 biji kelapa mataq yang dibeli dari seorang peniaga Cina Segamat.

Tambahnya, dia mampu menjual minuman coconut shake sehingga lebih 1,000 gelas pada hujung minggu dan setiap bulan mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000.

Satu lagi rahsia kejayaan perniagaannya ialah duit hasil jualannya setiap hari akan disimpan sedikit untuk dibayar zakat pada setiap tahun.

''Isteri saya dipertanggungjawabkan untuk mengasingkan wang hasil jualan untuk tujuan zakat dan alhamdullilah tahun lepas saya membayar zakat berjumlah RM3,000 hasil keuntungan yang diperoleh,'' katanya.

Shafie juga menasihatkan ahli keluarganya untuk selalu bersedekah dan jangan berkira terutamanya kepada pelanggan yang datang kerana dari situ rezekinya datang.

''Saya tidak pernah berkira dengan pelanggan saya, sekiranya mereka tidak ada duit kecil saya halalkan sahaja kerana saya tahu pada masa akan datang mereka akan kembali dengan membawa lebih ramai kawan,'' katanya.

Selain itu juga, dia amat mementingkan kebersihan gerainya kerana itu menjadi tarikan untuk pelanggan terus datang.

Katanya, kebersihan amat penting untuk menjaga hati pelanggan kerana jika ia tidak dititikberatkan, pelanggan tidak berasa selesa untuk datang berkunjung terutamanya mereka yang berkeluarga.

Beliau berkata, gerai minumannya beroperasi setiap hari bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 6.30 petang.

Ditanya sama ada beliau ingin mencari kawasan yang lebih luas untuk gerainya, Shafie berkata, dia sudah sebati dengan tempat tersebut kerana di situlah rezekinya datang mencurah-curah.

''Terdapat juga pelanggan yang menyarankan saya untuk mencari kawasan yang lebih luas, tetapi saya lebih selesa berniaga di sini kerana semua pelanggan saya sudah tahu tempat ini,'' katanya.

Selain menyediakan air coconut shake, tebu dan kelapa, gerai ini juga menjual nasi lemak, mi dan aneka kuih untuk sama-sama dinikmati pada waktu operasinya.

1 comment:

  1. asalmualaikom, kamu ada simpan no phone En. Shafie Ahmad untuk saya bertanya sedikit sebanyak.

    ReplyDelete