Monday, June 29, 2009

GULA MELAKA TRADISIONAL


JASIN 26 Dis. - "Kalau semuanya berjalan seperti dirancang, saya mahu menjadikan ladang kelapa seluas kira-kira 2.4 hektar yang diusahakan untuk menghasilkan gula Melaka sebagai 'Taman Gula Melaka'.

"Benarlah seperti dikata, pada sebatang pokok kelapa, semua yang dicipta ada kegunaannya, daripada buah, batang hinggalah kepada pelepahnya."

Itulah ungkapan yang terkeluar dari mulut Talib Yusof, 50, yang mewarisi perusahaan gula Melaka dari bapanya sejak hampir 20 tahun lalu.

Menurutnya, dia mahu menjadikan ladang kelapanya sebagai satu kawasan perkampungan yang menampilkan pembuatan gula Melaka secara tradisional.

"Kemudian, saya bercadang membukanya kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk melihat secara lebih dekat perusahaan tradisional ini.

"Ia juga secara tidak langsung akan dapat menambah satu lagi produk pelancongan di negeri ini," katanya.

Tambahnya, dalam perancangannya juga, dia mahu mempelbagaikan lagi produk dari air nira kelapa selain bergantung pada gula Melaka.

"Saya akan cuba menghasilkan cuka dan juga pelbagai air minuman termasuk minuman kecergasan daripada air nira bermula tahun depan.

"Kalau dahulu, arwah bapa boleh menghasilkan gula Melaka, saya juga boleh mempelbagaikannya," kata beliau.

Menceritakan kesukarannya ketika mula mengambil alih perniagaan itu daripada arwah bapanya, dia terpaksa memanjat sendiri pokok kelapa untuk mengambil air nira bagi menghasilkan gula melaka.

"Masa itu, umur baru lingkungan 30 tahun, semuanya saya buat sendiri sehingga perlu panjat lebih 10 batang kelapa sehari.

"Untuk menghasilkan 25 hingga 30 kilogram gula Melaka, ia memerlukan 200 liter air nira kelapa.

"Sebatang pokok kelapa pula cuma dapat menghasilkan kira-kira lima liter air nira sahaja," katanya.

Tambahnya, berkat kesabaran itu, dia kini berasa bangga kerana menjadi satu-satunya pengusaha gula Melaka di kampungnya daripada berpuluh pengusaha yang wujud sebelum ini.

Kini, dengan menggunakan khidmat enam pekerja berpengalaman, menurut Talib, kerja-kerja memungut air nira di kebun kelapanya berjalan lebih lancar.

"Setiap mayang kelapa akan dipotong hujungnya untuk mengeluarkan air nira yang ditadah menggunakan botol plastik.

"Biasanya air nira akan diambil sebanyak dua kali sehari dan setiap pokok kelapa berupaya mengeluarkan empat hingga lima liter dalam sehari.

Katanya, air nira yang telah dikumpul akan dibawa ke tempat memproses di rumahnya sebelum di masak untuk dijadikan Gula Melaka.

"Air nira akan ditapis terlebih dahulu sebelum dimasak selama dua hingga tiga jam sehingga menjadi pekat dan kemudian ia disejukkan selama kira-kira setengah jam serta dituangkan ke dalam cetak yang diperbuat daripada kayu dan buluh.

"Setelah itu, gula Melaka itu tadi akan dipaketkan mengikut pelbagai jenis dan gred," katanya.

Tambahnya, gula Melaka asli akan dijual di pasaran dengan harga sekitar RM8 ke RM10 sekilogram manakala gula melaka yang dicampur harganya lebih murah.

Sebarang keterangan lanjut mengenai hasil gula Melaka boleh menghubungi Talib Yusof di talian 019-6850248.

No comments:

Post a Comment